Input your search keywords and press Enter.

Selepas 25 Tahun, Anwar Kembali Ke PAU

Foto: Astro Awani

M Update, 09/06/2023 – Selepas dipecat daripada UMNO pada 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Perdana Menteri, yang memakai Baju Melayu berwarna biru, tiba pada jam 9 pagi dan disambut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kehadiran beliau turut disambut beberapa pemimpin UMNO lain dan kira-kira 6,000 perwakilan parti yang sudah berada di Dewan Merdeka sejak awal pagi tadi,

Selain Anwar, turut hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Warisan Negara (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sebaik sahaja masuk ke dalam Dewan Merdeka, Perdana Menteri terus duduk di atas pentas, bersebelahan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Program kemudian diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebelum Majlis Perasmian PAU2023 dimulakan kira-kira jam 9.25 pagi. – Astro Awani