Input your search keywords and press Enter.

Tajaan JPA Bagi Perubatan, Pergigian, Farmasi Diteruskan

M Update, 12/06/2023 – Laporan media pada Sabtu yang memetik jawapan bertulis disiarkan di portal Dewan Rakyat bahawa kerajaan menghentikan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Walaubagaimanapun, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diteruskan.

Keputusan ini berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor terbabit dalam negara. Menurut beliau lagi, daripada perjumpaan khas antara beliau dan JPA pada minggu lalu, JPA mengatakan pemberhentian tajaan itu adalah berdasarkan kepada dasar sedia ada.

Oleh itu, Anwar meminta agar dikaji semula berdasarkan unjuran yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada. Maknanya program biasiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan.

Anwar mengumumkan perkara itu ketika menjawab soalan salah seorang peserta program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), pada Ahad berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Bagaimanapun, pada Ahad, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM sedang mengadakan perbincangan semula bersama JPA berhubung langkah menghentikan tajaan itu.

Keputusan itu juga akan dikaji semula berlandaskan kajian pada tahun 2019 terbabit memandangkan terdapat beberapa perubahan baharu khususnya pasca Covid-19.