Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Malaysia Mangsa Pemerdagangan Di Myanmar Maut Selepas Diselamatkan

M Update, 17/10/2023 – Seorang rakyat Malaysia maut dalam tahanan Imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara tersebut. Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28 tahun disahkan meninggalkan dunia di Pusat Imigresen Tachileik, 14 Oktober lalu.

Menurut isteri mangsa, Nurul Diyana Mohd Shukri, suaminya tidak pernah mempunyai sejarah sakit jantung. Dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pertubuhan bukan kerajaan, NGO yang menyelamatkan suaminya daripada sindiket berkenaan.

Muhammad Izzat dilaporkan menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand sebelum dibawa sindiket  ke Myanmar melalui jalan darat.

Bapa kepada dua cahaya mata berusia tiga dan enam tahun itu  menyedari dirinya diperdaya dan berhubung dengan sebuah NGO malaysia yang berjaya menyelamatkan mangsa.

Mangsa kemudian dirujuk pihak berkuasa Myanmar dan seterusnya ditahan pihak imigresen negara itu sebelum dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran, ATIPSOM, Jabatan Siasatan Jenayah, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi Buletin TV3 memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kematian mangsa.

Jelasnya, pihak polis dan Wisma Putra sedang menyiasat kes berkenaan.

Sumber berita: BuletinTV3