M Update, 15/02/2024 – Kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini. Ia dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini. Ketetapan ini dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras bagi disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac 2024 ini. Semua jenis pembungkusan dan warna sedia ada dipasaran akan dibenarkan sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis.
Pembungkusan Beras Putih Malaysia Madani akan diselaras menggunakan reka bentuk yang kini di peringkat lakaran.