Input your search keywords and press Enter.

Pertahanan Negara – 5 Pertimbangan Strategik

M Update, 16/02/2024 – 5 pertimbangan strategik diberi fokus sepanjang tempoh pelaksanaan Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi menjajarkan semula hala tuju pertahanan negara, demi melindungi kepentingan negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Fokus pertama adalah menyentuh kesiagaan angkatan masa hadapan, yang mana usaha membangunkannya mesti menjadi matlamat besar berdasarkan KPP serta dasar atau pelan strategik yang selari – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Angkatan Masa Hadapan mesti difahami menerusi kaedah dan konteks lebih luas dan strategik, tidak secara automatik yang hanya merujuk secara terhad kepada pengambilan lebih ramai anggota atau perolehan lebih banyak aset pertahanan.

Fokus kedua ialah adaptasi kepada AI, big data dan pendigitalan oleh MINDEF dan ATM mesti terkandung di bawah lima fungsi iaitu threats monitoring (pemantauan ancaman); trends analysis (trend analisis); performance tracking (keupayaan menjejaki); transformation driver (pemacu transformasi) serta touch point platform.

Proses membina Angkatan Masa Hadapan tidak boleh dibincangkan secara objektif tanpa memberi perhatian kepada perkara seperti penggunaan data raya atau big data dan AI.

Fokus ketiga adalah, KSP mesti memberi perhatian kepada pembangunan dan perkembangan industri pertahanan, namun ia harus diteliti dengan lebih strategik dan realistik.

Aspek seperti pemerkasaan bakat tempatan, kerjasama strategik dengan pemain yang lebih besar dan berpengalaman, pembangunan kandungan tempatan, mesti menjadi antara fokus penting.

Fokus keempat adalah pemerkasaan anggota pasukan simpanan, dengan mendalami dan meletakkan secara jelas sasaran untuk merekrut, melatih dan mempunyai sejumlah anggota simpanan yang optimum pada satu-satu masa.

Pada masa sama, kerangka dan peruntukan perundangan serta dasar menyentuh keperluan dan kepentingan anggota simpanan mesti dilihat secara menyeluruh. Perkara ini bukan sahaja membantu ATM berfungsi dengan lebih berkesan, malah selari hasrat membabitkan masyarakat secara bermakna dalam agenda pertahanan negara.

Fokus kelima adalah diharapkan KSP KPP berupaya meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai sebuah negara maritim berdaulat, tetapi negara mempunyai kredibiliti pertahanan yang menyerlah dan berkesan.

Malaysia perlu diangkat sebagai pentas terbuka bagi membincangkan ancaman pertahanan bukan tradisional.

Bagi membangunkan KSP juga, input dan pandangan diperoleh hasil sesi libat urus membabitkan pelbagai pemegang taruh dan pihak mempunyai kepakaran mendalam dalam isu dikaji, kemudian akan diteliti untuk tujuan menilai pencapaian semasa KPP, mengkaji persekitaran strategik semasa serta menambah baik dasar dan pelaksanaan KPP di bawah Rancangan Malaysia ke-13.