M Update, 23/02/2024 – Kerajaan perlu tegas dan memerlukan tatakelola yang sangat baik untuk membina keyakinan pelabur, termasuk langkah tegas pencegahan rasuah.
Langkah tegas pencegahan rasuah seharusnya memberi isyarat penting akan kesungguhan kerajaan mahu memupuk persekitaran perniagaan yang telus lagi adil.
Adalah amat penting juga untuk Malaysia dilihat sebagai negara stabil, aman dan harmoni untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi cabaran besar termasuk cabaran landskap ekonomi global yang makin rumit ketika ini.
Situasi aman, stabil dan harmoni akan berupaya membangunkan negara yang makmur dan melimpahkan kemakmurannya untuk manfaat rakyat, selain akan dapat membangunkan warga yang kuat untuk membina negara yang kuat.
Negara yang kuat adalah negara yang warganya memiliki kematangan untuk menerima kelainan dan perbezaan, selain memiliki kedewasaan untuk menerima hakikat bahawa setiap warga memiliki kelemahan di samping kekuatan.
Warga yang memiliki semangat patriotik terhadap negara dan bangsanya akan memilih untuk bersatu daripada berpecah.