Input your search keywords and press Enter.

Aidilfitri – Tiket Bas Ke Pantai Timur Telah Habis Dijual

M Update, 03/04/2024 – Sebanyak 220,000 daripada kira-kira 330,000 tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk perjalanan sempena Hari Raya Aidifltiri telah terjual dengan kesemua tiket ke Pantai Timur sudah habis terjual.

Tinggal hanya lebih kurang 100,000 tiket bas ekspres yang tinggal, iaitu bagi perjalanan ke utara dan selatan.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah meluluskan sebanyak 218 bas tambahan setakat 29 Mac 2024 melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung sempena Aidilfitri

Keselamatan penumpang menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan APAD telah memastikan bas-bas tambahan yang diluluskan disaring dahulu bagi memastikan bas digunakan mematuhi kriteria permohonan termasuk melepasi kelulusan pemeriksaan keselamatan kenderaan dan memiliki GPS. 

Pemandu bas diwajibkan melalui ujian saringan bagi memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah selain dipastikan tidak mengambil perjalanan lebih daripada sepatutnya, bagi memastikan mereka mendapat rehat mencukupi. 

Selain itu, operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia akan kerap dilaksanakan selain pemantauan mengejut lebih kerap di terminal bas seluruh negara bagi menjamin ketersediaan pemandu dan keadaan fizikal bas supaya selamat digunakan.