Input your search keywords and press Enter.

Guna Skuter Elektrik Di KLIA

M Update, 15/04/2024 – Polis mencadangkan kepada pengurusan Malaysia Airports Berhad supaya mengkaji semula kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mencegah sebarang insiden tidak diingini berulang pada masa depan.

Sebarang insiden tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa di kawasan lapangan terbang itu kerana ketika ini orang awam boleh masuk tanpa sebarangan kawalan dan sekiranya membawa masuk mercun juga tidak dapat dikesan – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Tidak seperti di beberapa lapangan terbang luar negara, pengunjung perlu melalui mesin pengimbas terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki kawasan lapangan terbang.

Aspek keselamatan di KLIA dibincang susulan kes tembak seorang wanita yang kemudian terkena pada pengawal peribadinya dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA kelmarin.

Aspek keselamatan di KLIA ini sememangnya sering jadi perhatian terutama membabitkan pihak polis dan pengurusan KLIA dan antara penambahbaikan adalah menggunakan skuter elektrik yang sudah dirancang dan dipersetujui untuk pembeliannya oleh Kerajaan Selangor bagi kegunaan polis.

Skuter ini dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat bagi mendapatkan respon lebih cepat dan meluaskan kawasan rondaan di KLIA.

Selain itu, polis juga mencadangkan agar lorong berhampiran pintu masuk ke lapangan terbang ditutup kepada orang awam sama ada di bahagian ketibaan atau pelepasan kerana ia dilihat berisiko tinggi berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Tindakan yang dilakukan polis dan pihak berkuasa lapangan terbang ketika kejadian juga adalah baik kerana berjaya mengawal keadaan dengan segera bagi menghindarkan kejadian lebih buruk dengan mengasingkan suspek yang terlibat dan mengembalikan keselamatan pengunjung dengan segera.