Input your search keywords and press Enter.

6 Perayaan Dalam 1 Minggu

M Update,15/04/2024 – Kepelbagaian di Malaysia adalah aset terbesar dan ternilai kepada kita semua. Hanya di negara ini kita menyambut pelbagai perayaan.

Minggu ini sahaja:

  1. Hari Raya Aidilfitri
  2. Ugadi
  3. Tahun Baharu Tamil
  4. Vaisakhi
  5. Hari Vishu
  6. Songkran

Perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di Malaysia adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh semua rakyat.

Hari Raya Aidilfitri. Disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam.

Bagi orang keturunan Telugu, sambutan tahun baharu ialah Ugadi yang berasal daripada kata “yugadi” iaitu gabungan “yuga” (tempoh masa) dan “adi” (permulaan). Di Malaysia, Ugadi diraikan masyarakat Telugu. Di negara India pula, Ugadi atau Yugadi disambut orang keturunan Telugu, Tulu, Kodava dan Kannada di negeri Andra Pradesh, Telangana, Karnataka dan Goa.

Sambutan tahun baharu kaum India yang lebih dikenali di Malaysia ialah Chittirai Puttandu iaitu sambutan komuniti Tamil. Perhatian yang lebih diberi kepadanya kerana majoriti kaum India di negara ini keturunan Tamil. Tarikh perayaan ditetapkan dengan kitaran suria dalam takwim Hindu, seperti hari pertama bulan Tamil Chithirai.

Vaisakhi dalam Bahasa Panjabi iaitu ਵਸਾਖੀ (vaisākhī) dan juga dikenali sebagai Baisakhi. Perayaan ini adalah pesta menuai di Punjab, disambut pada 13 April dan ia juga menandakan bermulanya tahun menuai baru dan musim suria baru. Perayaan ini disambut oleh masyarakat sikh. Perayaan ini dinamakan vaisakhi kerana masyarakat ini percaya bahawa vaisakhi ini dikatakan diasaskan oleh Guru Amar Das pada tahun 1567. Pada hari ini semua penganut sikh akan berkumpul untuk mendapat restu daripada guru-guru mereka.

Sambutan tahun baharu bagi orang Malayali dikenali sebagai Vishu dan jatuh pada 14 April juga. Di Malaysia, ia lebih merupakan sambutan secara kecil-kecilan bersama ahli keluarga. Keunikan sambutan Vishu ialah pada amalan vishukani yang membawa makna “objek pertama yang dilihat pada tahun baharu”.

Songkran merupakan perayaan tahun baru tradisional Siam. Masyarakat Siam di Malaysia turut menyambut perayaan tahun baru ini. Perayaan ini juga dikenali sebagai pesta Songkran. Songkran disambut berdasarkan kepada Kalendar lunar Siam iaitu pada bulan kelima semasa bulan purnama dan jatuh pada hari kelima belas. Pesta Songkran ini juga lebih dikenali sebagai pesta mandi air iaitu mereka akan menyimbah air sesama mereka dan juga kepada orang ramai.