Input your search keywords and press Enter.

Keselamatan Sempadan – MKN Fokus Kerjasama Agensi

M Update, 16/04/2024 – Kerjasama erat antara agensi keselamatan dalam melaksanakan kawalan dan operasi bersepadu dapat memastikan keselamatan di sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand terus terpelihara sekali gus menjamin keselamatan negara.

Kerjasama itu sangat penting memandangkan negeri ini mempunyai keluasan sempadan yang agak besar dengan negara jiran.

Keselamatan di sempadan itu menjadi keutamaan kita (MKN). Memang kita sasar untuk capai sifar pencerobohan walaupun susah nak realisasikan, tapi kita beri keutamaan supaya dapat meminimumkan pencerobohan daripada berlaku – Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, Zuraini Mohd Yusof

MKN menyelaras operasi menyeluruh melibatkan agensi-agensi keselamatan serta kolaborasi antara jabatan terutama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri sendiri sangat baik.

Kerjasama rapat termasuk melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan pasukan tentera yang bersama-sama melaksanakan kawalan keselamatan ketika ini berjaya meminimumkan kes melibatkan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

MKN Kedah sememangnya memberi fokus utama berkaitan keselamatan sempadan di negeri ini yang mempunyai pintu masuk sempadan di darat, laut dan udara.

Walaupun jumlah kes pencerobohan membabitkan pendatang tanpa izin di negeri Kedah masih minimum, namun usaha membanteras aktiviti itu dan jenayah lain yang mengancam keselamatan negara perlu sentiasa dipertingkatkan.

Selain itu, rakyat juga perlu sentiasa diberi kesedaran berkenaan ancaman keselamatan dan boleh memainkan peranan untuk membanterasnya serta tidak meletakkan tanggungjawab itu kepada agensi kerajaan semata-mata.

Sumber : Bernama