Input your search keywords and press Enter.

Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijjah Pada 7 Jun Ini

M Update, 28/05/2024 – Tarikh melihat anak bulan Zulhijjah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Jumaat, 7 Jun 2024, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijrah, di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan tarikh 1 Zulhijah dan 10 Zulhijah (Hari Raya Korban) yang ditetapkan, akan diisytiharkan pada malam 7 Jun melalui radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijjah ialah pada petang Jumaat, 7 Jun 2024 Masihi, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijriah.

“Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” menurut kenyataan itu.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Zulhijah ialah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; serta Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi di Kedah ialah di Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar, manakala di Terengganu pula di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Di Kelantan lokasinya pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah di Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Lokasi melihat anak bulan di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.