M Update, 05/06/2024 – Kecoh di Johor pada Sabtu lalu, satu lagi kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel dikesan dan kali ini cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis.
Lori kontena yang membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari Thailand di Padang Besar itu berjaya telah dihalang oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sebelum diarah berpatah balik dengan segera.
Kejadian berlaku sekitar jam 12.00 tengah hari, selepas kenderaan itu memasuki terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar.
Semasa proses imbasan imej sedang dilakukan, pengendali mesin pengimbas mengesan kontena digunakan berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.
Pihak kastam menahan lori kontena tersebut bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut. Hasilnya, mengesahkan kontena itu adalah dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.
Oleh itu, Kastam segera mengarahkan lori kontena yang berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama.