M Update, 04/07/2024 – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memutuskan untuk memberikan slot ‘wild card’ kepada jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Perkara itu diumumkan Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika sidang media khas di Parlimen semalam.
Keputusan itu sekali gus mengenepikan pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang turut diletakkan sebagai antara pilihan untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
Shahidan, berkata pemilihan Azeem yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dibuat memandangkan slot ‘wild card’ yang ditawarkan oleh Olahraga Dunia adalah khusus untuk acara 100m, 800m dan maraton.
Memang berat untuk buat keputusan ini, tetapi kita kena lakukan berdasarkan tawaran pihak Olimpik berdasarkan kategori ‘wild card’ itu. Maka KOM telah memutuskan ‘wild card’ itu diberikan kepada Azeem,” katanya dalam sidang akhbar.
Sebelum ini, Azeem gagal layak secara merit ke Olimpik selepas tidak dapat melakukan larian sekurang-kurangnya 10 saat (s) yang merupakan kriteria ke temasya sukan itu.