Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Digalak Muat Naik Video, Gambar Kibar Jalur Gemilang Dengan Hashtag #KibaranJiwa Merdeka

Poster Kementerian Perpaduan Negara

M Update, 20/08/2024 – Rakyat Malaysia digalak memuat naik video dan gambar mengibarkan Jalur Gemilang pada tanggal 31 Ogos dan 16 September ini di platform media sosial dengan tanda pagar #KibaranJiwaMerdeka.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan ia adalah kempen Kibaran Jiwa Merdeka diperkenalkan kementerian itu bagi meningkatkan semangat patriotrik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Semua rakyat Malaysia yang berada di dalam mahupun luar negara diminta untuk mengambil bahagian dalam kempen ini,” menurut kenyataan itu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama, berkata kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara.

“Melalui konsep Malaysia MADANI, ia kunci utama bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Sehubungan itu, Aaron meminta semua rakyat Malaysia dapat mengambil bahagian dalam Kempen Kibaran Jiwa Merdeka .

Beliau juga berharap supaya media sosial diserikan dengan gambar patriotrik yang akan menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia serta menanam elemen perpaduan.

“Kementerian berharap supaya kempen ini secara tidak langsung dapat meraikan kepelbagaian, mempromosikan kebersamaan seterusnya membentuk jati diri yang dapat membina semangat cintakan negara,” katanya.

‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini – Bernama