M Update, 28/10/2024 – Bakal jemaah haji yang terpilih untuk mengejarkan ibadah haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH) boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera (Akaun 2) KWSP untuk membiayai perbelanjaan asas mengerjakan haji.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata perkhidmatan itu telah diperkenalkan sejak 2013 bagi ahli beragama Islam di bawah umur 55 tahun.
“Sejak diperkenalkan, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran haji daripada Akaun Sejahtera diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM16.7 juta, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, sebarang pengeluaran daripada Akaun Persaraan (Akaun 1) KWSP, termasuk bagi tujuan mengerjakan ibadah haji tidak dibenarkan. Langkah itu bagi memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnya Simpanan Asas sebanyak RM240,000 bagi kelangsungan hidup ketika persaraan.
Beliau menjawab soalan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-JERLUN) sama ada kerajaan bercadang untuk mengubah dasar untuk membenarkan pekerja yang belum mencapai usia persaraan mengeluarkan Akaun Satu (Persaraan) bagi tujuan mengerjakan haji jika pekerja itu sudah terpilih untuk mengerjakan ibadah itu dan jumlah ahli KWSP yang dibenarkan membuat pengeluaran Akaun Dua (Sejahtera) atau Ketiga (Fleksibel).
Akaun Persaraan, yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, bertujuan sebagai simpanan persaraan, yang membabitkan 75 peratus daripada keseluruhan caruman.