Input your search keywords and press Enter.

Bekas Suami Pukul Jahidah Hingga Koma Dipenjara 10 Tahun

M Update, 09/12/2024 – Seorang peniaga yang bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, sehingga koma, tiga tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula hari Ini oleh Mahkamah Seksyen, Johor Bharu.

Rosmaini Abd Raof, 41, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah yang sedang hamil dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan penjara 10 tahun itu pada akhir pembelaan kes berkenaan terhadap Rosmaini selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sepanjang perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.

Terdahulu peguam mewakili tertuduh, Mohd Salleh Togimin memohon mahkamah memberikan hukuman ringan ke atas tertuduh berikutan beliau mempunyai sakit jantung.

Tertuduh juga bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap menanggung dua isteri dan lapan anak berusia antara dua hingga 19 tahun.

Malah tertuduh ditahan di penjara selama setahun dua bulan dengan keluarga terpaksa mengumpul wang untuk menjaminnya keluar sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, adik Jahidah, Fauziah hadir seawal jam 8 pagi di perkarangan mahkamah bagi mengikuti keputusan kes berkenaan.

Pada 3 November lalu, keputusan kes berkenaan ditangguhkan ke hari ini selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke Hospital Pendang akibat sesak nafas.

Pada 16 Januari lalu, Rosmaini yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah sehingga koma, tiga tahun lalu, diperintah membela dirinya.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan wanita itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Kes Jahidah itu menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.