Input your search keywords and press Enter.

Kes Rasuah VLN: Ahmad Zahid Kekal Dibebaskan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

M Update, 12/12/2024 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kekal dilepaskan dan dibebaskan atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Pada 29 Disember tahun lalu, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China.

Pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes itu.

Pendakwaan mendakwa, hakim itu terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi Ahmad Zahid selepas dibebaskan pada 23 September lalu.