M Update, 18/12/2024 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memaklumkan proses baik pulih laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, dekat Gua Musang, berikutan berlaku mendapan minggu lalu, dijangka mengambil masa dua bulan.
Pengarahnya, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, sehingga kini, laluan berkenaan masih ditutup dan kerja-kerja baik pulih belum dapat dilakukan. Kerja-kerja baik pulih hanya boleh dilakukan apabila cuaca kembali baik.
Lencongan di laluan berkenaan juga tidak dapat dilakukan berikutan tanah di kawasan terbabit lembut dan ia membahayakan sekiranya membuat jalan lencongan.
Penyelesaian terbaik di laluan itu adalah membaik pulih dengan mengorek balik lubang benam berkenaan sebelum melihat tahap kerosakan sebenar. Baik pulih ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa bagi menjamin kualiti jalan.
Media sebelum ini melaporkan, laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, dilaporkan berkata, laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah sehingga arahan baharu dikeluarkan daripada pihak JKR.