Input your search keywords and press Enter.

Tawaran Bayaran Ansuran PKPS 2.0 Tamat 31 Disember Ini

M Update, 19/12/2024 – Tawaran pembayaran secara ansuran bagi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 akan berakhir pada 31 Disember 2024.

Sehubungan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan menggesa semua pembayar cukai yang menyertai program tersebut untuk bayaran penuh dibuat mengikut aturan ansuran ditetapkan pada atau sebelum tarikh tamat.

“Kegagalan pembayar cukai menjelaskan bayaran dalam tempoh seperti yang telah ditetapkan boleh dikenakan kenaikan lewat bayar di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 atau tindakan undang-undang di mahkamah.

“Tindakan pematuhan boleh turut dikenakan ke atas mereka mengikut Rangka Kerja Audit Cukai yang berkuat kuasa di mana pembayar cukai boleh diaudit atau disiasat pada masa hadapan sekali gus manfaat PKPS 2.0 yang dinikmati akan terbatal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, LHDN menasihatkan kepada semua pembayar cukai agar membuat semakan tunggakan cukai dan ansuran bayaran PKPS 2.0 secara dalam talian di https://mytax.hasil.gov.my.

Menurutnya, LHDN yakin dengan kerjasama daripada semua pihak, objektif pelaksanaan PKPS 2.0 ini akan tercapai sepenuhnya serta menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran, tanggungjawab dan tahap pematuhan cukai rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Sebelum ini, PKPS 2.0 yang bermula 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024 mencatatkan sebanyak 141,406 kes pengakuan sukarela telah diterima melibatkan taksiran cukai sebanyak RM1.29 bilion melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1 bilion.

PKPS merupakan inisiatif LHDN yang bermula pada tahun 2018, untuk memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela memperbaiki rekod percukaian jika terdapat isu ketidakpatuhan.

Antaranya, pendapatan tidak atau terkurang lapor, pelepasan, perbelanjaan, potongan, rebat, elaun dan insentif yang terlebih tuntut serta kegagalan untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). – Sinar Harian