Input your search keywords and press Enter.

Jangan Terpengaruh Pakej Umrah Murah, Guna Selebriti Dan Pempengaruh

M Update, 15/01/2025 – Umat Islam di negara ini dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan harga pakej umrah yang terlalu murah dan promosi melibatkan individu terkenal seperti selebriti dan pempengaruh.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, bakal jemaah perlu membuat pemilihan antaranya syarikat yang berwibawa dan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Bakal jemaah juga boleh mengelakkan kejadian ditipu dengan mengambil langkah membuat semakan lanjut seperti melawat pejabat agensi yang dipilih serta semakan latar belakang dan rekod prestasi syarikat berkenaan.

Menurut Mohd Naim lagi, syarikat pengendali umrah yang memberi alasan pembatalan hotel oleh pihak Arab Saudi sering dijadikan alasan lapuk. Mangsa yang terlibat dengan penipuan tersebut diminta membuat laporan polis dan aduan kepada pihak MOTAC.

Terdahulu akhbar melaporkan lebih 300 bakal jemaah umrah terkandas selepas pihak syarikat menunda tarikh penerbangan yang sepatutnya pada hari ini kepada suatu tarikh yang tidak di pastikan.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di ibu pejabat syarikat itu mendapati, ramai bakal jemaah hadir menuntut penjelasan dan pemulangan bayaran.