
M Update, 21/02/2025 – Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertambah baik selepas selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berkesempatan menghadap Sultan Ibrahim ketika lawatan rasminya di Bahrain, berkata keadaan baginda jauh lebih baik berbanding sebelum menerima rawatan.
“Alhamdulillah saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong dua kali dan alhamdulilah rawatan di peringkat awal itu nampak berhasil walaupun (masih) harus dipantau.
“Kesihatan baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya baginda putuskan untuk pulang (ke tanah air) dahulu, insya-Allah meneruskan rawatan jika perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Pada 7 Februari lepas, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Istana Negara kemudian dalam kenyataan susulan memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia Jumaat ini.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu, Anwar berkata, perkara berkenaan telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda.
“Ya tetapi seperti mana yang saudara tahu, sehingga hal ini disahkan, kita akan umumkan (nanti),” katanya.
Pada 8 Februari lalu, Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz, mengesahkan tempoh perkhidmatannya selama dua tahun sudah berakhir.
Anwar sebelum ini dilapor berkata kerajaan telah mempunyai calon bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang telah tamat perkhidmatan bagi tempoh dua tahun sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Perdana Menteri turut dilapor berkata kerajaan kini dalam fasa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada 9 Februari 2023, dan menurut kenyataan Kementerian Luar, pemilihan (Mohamed Nazri) itu berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara. – Bernama