
M Update, 24/03/2025 – Semua pihak perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama khususnya dalam membincangkan isu rumah ibadat bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur perlu diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan dan semangat perpaduan, khususnya dalam bulan Ramadan.
Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat sudah tentu mengambil kira kepentingan bersama demi kesejahteraan rakyat negara ini.
Sebaiknya semua pihak merujuk dan menghormati kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana itulah keputusannya. Moga proses rundingan berjalan dengan baik. InsyaALLAH dengan semangat Ramadan ini akan dapat menyelesaikan secara berhikmah dan damai.
Zulkifli berkata, sebagai sebuah negara berbilang kaum, semua pihak perlu mengenali antara satu sama lain, serta menjaga sensitiviti masing masing. Menurutnya, perkara tersebut juga perlu dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab dalam rundingan terbabit.
Sempena bulan Ramadan ini, marilah kita berdamai. Mesejnya adalah perpaduan dan keharmonian selain membawa semangat Ramadan untuk melihat dan meneliti apa pun keputusannya adalah untuk kepentingan bersama khususnya negara kita.
Zulkifli turut menasihatkan agar semua pihak bersikap tenang dan memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pihak berkaitan isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan ia berjalan lancar.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi ‘jaguh’ dalam isu berkenaan.
bento4d bento4d