Input your search keywords and press Enter.

Anwar Bangkitkan Isu MH17 Semasa Bertemu Putin

Foto: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

M Update, 15/05/2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 ketika pertemuan dengan Presiden Russia Vladimir Putin hari ini.

Anwar berkata perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Russia itu di Kremlin di sini sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi itu.

Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Russia di sini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berhubung penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Russia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Perdana Menteri berkata Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Anwar berkata Presiden Russia itu menegaskan bahawa beliau telah menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain isu tersebut tidak dipolitikkan.

Putin berkata sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Russia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa.

Anwar berkata beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberikan oleh Putin.

Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Russia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.

Pada Isnin, ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Russia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.

Lawatan itu adalah atas undangan Putin.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat tertutup sebelum Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menghadiri majlis makan tengah hari dan mengadakan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara. – Bernama