
M Update, 16/05/2025 – Kementerian Pengangkutan (MOT) menawarkan pengecualian cukai jalan selama setahun untuk setiap pembelian kenderaan baharu menerusi Program PROTON Xchange yang berlangsung sehingga hujung tahun ini.
PROTON Xchange adalah program pelupusan kenderaan lama berusia 15 tahun ke atas, yang tidak lagi selamat digunakan atas jalan raya.
Menerusinya, pemilik kenderaan layak untuk membeli mana-mana jenis kenderaan baharu milik PROTON termasuk model popular kenderaan elektrik, e.MAS 7.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata jika program berjaya menunjukkan hasil yang positif, MOT sedia mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak insentif tambahan pada masa akan datang.
Mereka yang mengambil bahagian dan membeli kenderaan baharu dalam program ini, kami (Kementerian Pengangkutan) akan memberi mereka cukai jalan secara percuma sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun.
Jadi mereka (pembeli) tidak perlu membayar cukai jalan apabila mendaftar kenderaan baharu,” katanya semasa berucap melancarkan Program PROTON Xchange, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar memberitahu PROTON Xchange menerima semua jenis kenderaan untuk dilupuskan dan pemilik bakal menerima RM2,000 sebagai rebat bagi pembelian kenderaan baharu.

PROTON menerima semua jenis kenderaan lama yang tidak lagi selamat atau tidak boleh digunakan atau tidak boleh dijualkan bagi tujuan pelupusan. PROTON bersama rakan-rakan kerjasama yang lain akan melupuskan kenderaan tersebut dengan bertangunggjawab.
Sebagai pertukaran, pemilik kenderaan lama ini bakal menerima RM2,000 dan mereka mesti menggunakan rebat ini untuk membeli mana-mana jenis kenderaan baharu PROTON,” kata beliau.
Selain itu, beliau menambah, inisiatif itu sejajar dengan matlamat Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan bilangan kenderaan lama di jalan raya.
Tiada had ditetapkan bagi insentif berkenaan kerana ia berdasarkan konsep satu lawan satu. Jika pemilik mempunyai lima kenderaan lama, mereka juga layak membeli lima kenderaan baharu menerusi program ini.
Malah, pengecualian cukai jalan turut diberikan tanpa had, walaupun melibatkan kenderaan dengan kadar cukai lebih tinggi, asalkan ia dibuat di bawah program pertukaran ini,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Syed Faisal turut memaklumkan PROTON memperuntukkan RM4.8 juta bagi pelaksanaan program ini sebagai langkah proaktif dan menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan mempercepatkan peralihan ke arah mobiliti hijau.