Input your search keywords and press Enter.

Ahmad Fawwaz Dilantik Mufti Wilayah Persekutuan Baharu

M Update, 27/05/2025 – Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ahmad Fawwaz menggantikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah yang menamatkan perkhidmatannya sebagai mufti, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pelantikan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong itu mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepemimpinan negara ke atas kebolehan dan kewibawaan Ahmad Fauwaz untuk mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah.

Beliau yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor sebelum ini dilantik untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GISBH Holdings Bhd (GISBH) pada Oktober tahun lalu.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu berkelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir serta menyempurnakan pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.

Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Usul Figh dari Universiti Malaya dan pensijilan antarabangsa seperti Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).

Sarjana Islam itu juga aktif menyumbang dalam pelbagai institusi termasuk MAIWP, institusi kewangan dan akademik.

Kepakaran beliau dalam bidang usul figh, figh muamalat, figh perubatan serta kefahaman figh kontemporari amat diperlukan dalam membentuk dasar hukum Islam yang seimbang, berlandaskan maqasid syariah dan selari aspirasi Malaysia MADANI.