
M Update, 30/06/2025 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai ini.
Pelaksanaan ini melibatkan bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 kerana telah diwartakan untuk pemasangan tali pinggang keledar. Manakala, bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Kerajaan sedang meneliti dan mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri untuk memberikan tempoh kepada syarikat pengendali bas memasang tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang.
Menurutnya lagi, pihaknya juga telah memanggil pihak industri bagi memaklumkan bahawa satu mekanisme atau prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan di peringkat syarikat bas untuk memastikan pemandu dan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak.
Pemandu, penumpang dan pengendali syarikat yang gagal mematuhi arahan pemakaian tali pinggang keledar akan dikenakan notis saman sebanyak RM300.
Pemakaian tali pinggang keledar ini merupakan salah satu langkah bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.