
M Update, 01/08/2025 – Sebanyak satu juta rumah mampu milik akan dibangunkan dari tahun 2026 hingga 2035 melalui pelbagai inisiatif, bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman yang selesa dan selamat.
Komitmen itu bakal dan sedang dilaksanakan melalui pelbagai projek perumahan seperti Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah, serta Program Perumahan Mampu Milik yang dibangunkan oleh kerajaan negeri dan pemaju swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai rakyat, termasuk yang berpendapatan rendah dan sederhana, mampu memiliki rumah sendiri.
Peralihan kepada teknologi seperti Industrialised Building System dan Building Integrated Management akan membantu mempercepatkan pelaksanaan serta mengurangkan kos pembinaan rumah, termasuklah perumahan awam,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, inisiatif seperti Kota Madani di Putrajaya yang melibatkan kerjasama kerajaan dengan pihak swasta akan diperluas sebagai model pembangunan perumahan mampu milik yang menterjemahkan konsep perbandaran ‘Umran Hadhari’.
“Konsep ini membolehkan rakyat bukan sahaja memiliki tempat tinggal, tetapi juga menikmati kehidupan dalam sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan dengan nilai, kemodenan dengan akhlak dan teknologi dengan kemanusiaan,” katanya.