Input your search keywords and press Enter.

Anwar Gesa Tindakan Segera: Bebaskan Aktivis, Sukarelawan Malaysia

M Update, 02/10/2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang ditahan tentera Israel, sambil menegaskan misi kemanusiaan tanpa senjata itu hanya membawa bantuan untuk rakyat Gaza.

Beliau berkata tindakan Israel menghalang misi tersebut bukan sahaja menafikan hak asasi Palestin, malah mencabar nurani masyarakat dunia.

Perdana Menteri memaklumkan beliau menerima laporan daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas rejim Zionis Israel.

Beliau menggesa semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan segera, dan menegaskan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia yang ditahan.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan Malaysia akan mengambil segala langkah sah di sisi undang-undang untuk menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara Malaysia terlibat.

Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli, katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.