
M Update, 13/11/2025 – Pengarah dan penyanyi rap terkenal, Wee Meng Chee atau Namewee, akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, keputusan itu dibuat selepas siasatan mendapati tiada bukti yang mengaitkan Namewee dengan kes pembunuhan pempengaruh dari Taiwan bulan lalu.
Bagaimanapun, sekiranya terdapat penemuan baharu hasil siasatan lanjut itu, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan. Beliau berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam.
Namewee direman enam hari sejak 5 November lalu, sebelum tempoh remannya disambung tiga hari lagi sehingga hari ini, bagi membantu siasatan kes itu.
Namewee merupakan individu terakhir bersama pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin, yang ditemui maut dalam tab mandi di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu.
Kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun kemudian disiasat semula sebagai kes bunuh.