Input your search keywords and press Enter.

Jawatankuasa Tangani Berita Palsu Ditubuhkan

M Update, 30/10/2019 – Satu jawatankuasa penguatkuasaan bersepadu membabitkan dua agensi penguatkuasaan ditubuhkan bagi menangani isu penyebaran berita palsu dan jenayah siber.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata dua agensi itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kerjasama dan kolaborasi antara dua agensi ini khususnya dalam perkongsian maklumat dan kepakaran adalah bertepatan bagi melancarkan gerak kerja dan penguatkuasaan untuk menangani isu penyalahgunaan media sosial dengan lebih efektif,” katanya.

Penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen sedang dilaksana bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam menangani isu berita palsu.

“Ini lebih spesifik kerana ia akan berperanan secara khusus untuk menangani perkara berkaitan berita tidak benar atau dari segi pengeluaran berita palsu yang boleh mengancam politik negara,” katanya.

Eddin Syazlee berkata, kerajaan juga tidak pernah menyekat mana-mana agensi media melaporkan berita yang benar dan boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

“Kerajaan lebih terbuka, kita benarkan , perkara yang dilaporkan dengan nilai berita. Sekiranya berita itu benar, tidak ada sebab kerajaan sekat, tetapi jika berita itu untuk memutar belit fakta yang benar, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN UMNO- Jempol) sama ada kerajaan bercadang mewujudkan akta baharu susulan pemansuhan Akta Berita Tidak Benar 2018, beliau berkata, undang-undang yang ada ketika ini mencukupi dalam membendung penyebaran berita palsu. Kita mempunyai peruntukan undang-undang yang cukup iaitu Kanun Keseksaan serta peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan juga ada yang dibuka dan sehingga kini lebih 50 kes berkaitan berita tidak benar disiasat. manakala tiga kes sudah dihukum,” katanya.

Leave a Reply