Input your search keywords and press Enter.

7 Pegawai Penguat Kuasa Ditahan SPRM Disyaki Terlibat Rasuah RTK

Foto: Buletin TV3

M Update, 14/11/2025 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tujuh pegawai sebuah agensi penguat kuasa yang dipercayai terlibat dalam rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan program pemutihan pendatang asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin membenarkan perintah reman selama tiga hari sehingga 15 November selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret pagi semalam.

Menurut sumber, kesemua suspek iaitu empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga lewat 50-an telah ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM semalam.

Kesemua pegawai berkenaan dipercayai menerima sogokan bagi memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan pendatang asing di negara ini untuk disahkan sebagai pekerja sah melalui program RTK.

“Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini,” katanya.

Sumber juga menyatakan bahawa SPRM merampas wang tunai lebih RM116,000, 14 telefon bimbit, pelbagai barangan kemas dan kepingan emas, selain tiga kereta serta dua motosikal dalam operasi tersebut.

Semalam, SPRM menahan 11 individu, namun empat daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sumber: Buletin TV3