Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Selangor Batalkan Projek Ternakan Babi di Bukit Tagar

Foto Hiasan

M Update, 26/01/2026 – Kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor, dan menangguhkannya sementara sehingga lokasi alternatif atau kaedah pelaksanaan yang lebih sesuai dikenal pasti.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu, selepas Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim, memberitahu bahawa projek berkenaan menerima bantahan kuat daripada pihak tertentu.

Beliau berkata, Anwar menyampaikan cadangan supaya projek terbabit dibatalkan melalui panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara bagi tujuan pemukiman sebuah agensi kerajaan negeri. Projek ternakan babi di Bukit Tagar dicadangkan sebelum ini sebagai langkah menangani masalah pencemaran yang berlaku di Tanjong Sepat, Kuala Langat, yang telah berlarutan sejak belasan tahun lalu.

Perdana Menteri pada Jumaat lalu berkata, mesyuarat mingguan Kabinet berpandangan bahawa isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya projek tersebut dibatalkan terlebih dahulu.

Pada 12 Januari lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dilaporkan berasa murka terhadap perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju terutama jika projek itu melibatkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara. Baginda turut menzahirkan kebimbangan kerana kawasan Kuala Langat mempunyai ramai penduduk Melayu, manakala isu berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.