
M Update, 27/01/2026 – Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya yang sebelum ini digantung untuk kembali beraksi, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam satu kenyataan, FAM memaklumkan keputusan itu dibuat selepas CAS meluluskan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan oleh ketujuh-tujuh pemain berkenaan. Dengan keputusan tersebut, hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ditangguhkan buat sementara waktu.
FAM turut menjelaskan bahawa pemain terbabit dibenarkan meneruskan kerjaya masing-masing serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS diumumkan.
Sebelum ini, FIFA mengenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan tersebut. Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen, manakala FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Pada 3 November lalu, FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan serta mengekalkan hukuman tersebut. Susulan keputusan itu, FAM membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).