
M Update, 06/03/2026 – Kementerian Luar sedang menyelaras usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan serta penutupan ruang udara di beberapa negara akibat konflik di Asia Barat.
Menurut kenyataan kementerian, proses evakuasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan negara terlibat serta syarikat penerbangan berkaitan.
Usaha berkenaan turut melibatkan rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang telah berdaftar.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia di kawasan terjejas diminta segera mendaftar atau mengemas kini maklumat perhubungan dengan Kedutaan Besar Malaysia atau perwakilan terdekat, atau melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan proses penyelarasan evakuasi.
Wisma Putra memaklumkan Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara terjejas telah menghubungi rakyat Malaysia sejak awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat bagi tujuan perancangan kontingensi.
Rakyat Malaysia di kawasan terlibat turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, menjauhi kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas akibat konflik, termasuk bagi tujuan umrah atau ziarah.
Nasihat perjalanan itu akan terus berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak, dan kementerian memohon kerjasama semua pihak termasuk agensi pelancongan.