Input your search keywords and press Enter.

AS Tangguh Larangan Terhadap Huawei

M Update, 21/5/2019 – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan penangguhan selama 90 hari ke atas larangan berurusan dengan gergasi teknologi China, Huawei, kerana ruang diperlukan untuk mengelakkan gangguan besar-besaran.

Jabatan Perdagangan berkata, penangguhan itu tidak mengubah sekatan yang dikenakan Presiden Donald Trump atas alasan keselamatan negara sekali gus memberi kesan besar terhadap syarikat dari AS dan China berkenaan. Sebaliknya, ia memberikan lesen sementara yang akan membolehkan Huawei terus menjalankan perniagaan bersama firma AS.

Lesen am sementara itu bagi memberi masa kepada pengendali untuk membuat perjanjian lain dan (memberi) ruang kepada jabatan untuk menentukan langkah-langkah jangka panjang yang sesuai untuk AS dan penyedia telekomunikasi asing yang kini bergantung pada peralatan Huawei untuk perkhidmatan kritikal,” kata Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross.

Lesen ini akan membolehkan operasi berterusan untuk pengguna telefon pintar Huawei sedia ada dan rangkaian jalur lebar luar bandar,” katanya. Pentadbiran Trump baru-baru ini secara rasminya menyenarai hitam Huawei, sekali gus akan menyukarkan lagi gergasi telekomunikasi itu untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat AS.

Jabatan Perdagangan mengeluarkan peraturan yang meletakkan Huawei dan 68 sekutunya di lebih dua belas negara dalam Senarai Entiti, langkah yang menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu. Tindakan itu berlaku apabila kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perangan tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

AS percaya telefon pintar Huawei dan peralatan rangkaian boleh digunakan China untuk mengintip rakyat AS, tuduhan yang berulang kali dinafikan Huawei. – HM Online

Leave a Reply