Anggota Tentera Cedera Parah, Koperal Terlibat Ditahan Polis

Foto: Harian Metro

M Update, 02/04/2026 – Polis mengesahkan menerima laporan mengenai seorang anggota tentera yang parah selepas dipukul di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 8.45 pagi semalam, manakala kejadian dipercayai berlaku pada jam 8 malam, 30 Mac lalu, dan dibuat oleh bapa mangsa, 49 tahun.

“Siasatan awal mendapati seorang anggota tentera berpangkat Koperal dipercayai menumbuk, menendang dan memukul mangsa di beberapa bahagian badan. Terdapat enam lagi mangsa berusia 19 hingga 22 tahun yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya.

Seorang mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan. Mangsa lain telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut.

Bertindak atas maklumat, polis menahan Koperal berusia 37 tahun terbabit pada jam 2.30 petang semalam untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, dan perintah reman terhadap suspek dikeluarkan selama empat hari bermula hari ini hingga 4 April.

Zaiham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Sumber: BH

kampungbet kotabet kampungbet kampungbet