Input your search keywords and press Enter.

Tiga Maut Dalam Insiden Tembakan, Suspek Warga Emas Dicekup

Foto: Orang Awam

M Update, 20/04/2026 – Tiga individu maut selepas ditembak dalam satu kejadian di sebuah restoran di sekitar bandar Kota Tinggi kira-kira jam 1.30 tengah hari, Ahad.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, insiden itu melibatkan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun. Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun.

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun kira-kira jam 2 petang, sekitar 200 meter dari tempat kejadian. Turut dirampas ialah sepucuk shotgun jenis Benelli M/Super shotgun yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia. Senjata berkenaan diluluskan untuk kegunaan menjaga tanaman, memandangkan suspek mempunyai tanah pertanian.

Motif kejadian masih dalam siasatan, namun setakat ini polis mengesahkan kes tidak melibatkan unsur kongsi gelap atau keganasan, sebaliknya tidak menolak kemungkinan berpunca daripada isu hutang peribadi.