
M Update, 14/04/2026 – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menggesa semua pihak menghentikan polemik berkaitan dakwaan penghantaran diesel ke Filipina.
Beliau menjelaskan, urusan tersebut melibatkan syarikat antarabangsa, Vitol, yang beroperasi di Pengerang, Johor, dan bukannya syarikat tempatan. Tegasnya, ia juga tidak ada kaitan dengan Petroliam Nasional Berhad.
Menurut beliau, penghantaran minyak itu adalah sebahagian daripada perjanjian komersial syarikat terbabit untuk menjual kepada Filipina. Malaysia hanya membenarkan laluan penghantaran tersebut dan tidak membekalkan minyak berkenaan.
“Saya harap isu ini tidak lagi diperbesarkan, sebaliknya semua pihak memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang tidak menghargai usaha kerajaan mengekalkan subsidi bahan api untuk rakyat.
Katanya, subsidi RON95 yang sebelum ini sekitar RM700 juta kini meningkat kepada kira-kira RM5 bilion sebulan, tidak termasuk diesel. Walaupun begitu, masih terdapat rungutan mengenai harga diesel.
Tambah beliau, subsidi diesel masih diberikan kepada golongan tertentu seperti petani, nelayan, pengangkutan awam dan bas sekolah.
Perdana Menteri turut memaklumkan kos subsidi diesel yang sebelum ini sekitar RM2 bilion sebulan kini melonjak kepada RM7 bilion, sekali gus memberi tekanan besar kepada kewangan kerajaan.
Beliau mengakui masih terdapat pihak yang terkesan dengan pelaksanaan dasar tersebut, namun mereka boleh mengemukakan tuntutan atau berunding tanpa perlu menggunakan pendekatan yang melampau.
Anwar berkata, peningkatan perbelanjaan subsidi menyebabkan beberapa projek berskala besar terpaksa ditangguhkan, dengan keutamaan diberikan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sebelum ini, kerajaan dan PETRONAS menafikan dakwaan bahawa Malaysia membekalkan diesel ke Filipina. Malah, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) melalui Pasukan Pengurusan Krisis turut menolak laporan media Filipina yang mendakwa penghantaran 329,000 tong diesel, dengan semakan awal mendapati bekalan itu bukan berasal dari Malaysia.