Kes Tikam Depan Restoran: Suspek Lelaki Ditahan

M Update, 18/05/2026 – Seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri selepas menikam seorang wanita di dalam sebuah kereta berhampiran restoran di Titi Gajah, Kepala Batas berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali memaklumkan suspek berusia 32 tahun itu akan dibawa ke mahkamah pada Isnin bagi permohonan reman.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam Ahad, mangsa dipercayai ditikam di bahagian kanan leher ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Mazda 3 sebelum suspek bertindak melarikan diri.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit adalah milik mangsa yang ketika itu berada di tempat duduk pemandu.

Polis turut percaya suspek dan mangsa saling mengenali, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.