Pasangan Kekasih Pilih Hukuman Sebat Elak Dipenjara

Foto: BH

M Update, 18/05/2026 – Sepasang kekasih memilih untuk menjalani hukuman sebatan syariah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persediaan untuk persetubuhan luar nikah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

Tertuduh, Muhammad Syahmi Faris Latif, 25, dan Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 23, membuat keputusan itu kerana tidak mampu membayar denda selain mahu mengelakkan hukuman penjara.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof menjatuhkan hukuman empat sebatan terhadap kedua-duanya selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan tersebut didapati berada dalam keadaan berpakaian tidak lengkap di dalam sebuah kereta ketika ditahan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di belakang sebuah bangunan di daerah Marang kira-kira jam 10.45 malam pada 4 Disember tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan persediaan untuk persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali, atau gabungan hukuman tersebut.

Mahkamah menetapkan hukuman sebatan dijalankan pada 7 Jun depan di Penjara Marang selepas tamat tempoh rayuan selama 14 hari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.