Tragedi Pilu Berulang: Ibu Gajah Enggan Tinggalkan Anak Yang Maut Dirempuh

M Update, 02/07/2026 – Seekor anak gajah betina dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dirempuh sebuah Perodua Bezza di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi semalam, manakala ibu gajah terbabit enggan meninggalkan bangkai anaknya selama hampir tujuh jam.
Kejadian kira-kira 2.28 pagi itu mengimbau tragedi di Gerik, Perak pada Mei tahun lalu yang menyentuh hati rakyat apabila seekor ibu gajah cuba menyelamatkan anaknya yang mati dilanggar lori.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mengesahkan menerima laporan pada jam 8.30 pagi sebelum menghantar anggota ke lokasi. Siasatan mendapati anak gajah berkenaan mati akibat pelanggaran, manakala ibu gajah masih berada di kawasan kejadian.

Pasukan Unit Tangkapan Gajah dari Pusat Santuari Gajah Johor (JES) kemudian berjaya mengalihkan ibu gajah ke dalam hutan, sementara bangkai anaknya ditanam berhampiran. Rondaan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan haiwan berkenaan.
Dalam kejadian sama, pemandu Perodua Bezza cedera selepas kenderaannya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter akibat pelanggaran itu.
Perhilitan mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan yang merupakan kawasan gajah melintas, walaupun papan tanda amaran telah dipasang.
