Murid Tahun Satu Maut Dilanggar Bas Sekolah

Foto Tular

M Update, 16/07/2026 – Seorang murid lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, Kluang pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian sekitar jam 4.20 petang itu mengorbankan Muhammad Umar Mohd Faaiz yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut siasatan awal, bas sekolah jenis Hino yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 36 tahun dipercayai telah menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya sebelum membelok ke Jalan Bunga Raya 3.

Bagaimanapun, ketika meneruskan perjalanan, kenderaan itu dipercayai melanggar mangsa yang berada di bahagian kiri jalan berkenaan.

Akibat kejadian tersebut, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu bas berkenaan pula dilaporkan pengsan kerana terkejut selepas menyedari insiden itu dan kini menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.