Tamim Dahri Masih Di Luar Negara, PDRM Mohon Interpol Keluar Notis Merah

Foto: Media Sosial

M Update, 15/07/2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) pada 8 Jun lalu bagi mendapatkan Notis Merah terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai masih berada di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu dibuat selepas pihak polis memohon pembatalan pasport suspek sebagai usaha mengesan lokasi serta membawanya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung kes provokasi agama.

Menurut beliau, semakan bersama Jabatan Imigresen mengesahkan Tamim Dahri masih berada di luar negara.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Langkawi menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap suspek selepas dimaklumkan beliau berada di Riyadh, Arab Saudi. Siasatan mendapati Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand sebelum dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Pada 17 Mei lalu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, iaitu simbol suci penganut Hindu, di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.