BIMBANG PELURU CEDERAKAN ORANG AWAM, ANGGOTA POLIS TIDAK LEPASKAN TEMBAKAN

M Update, 18/11/2026 – Kebimbangan peluru melantun dan mencederakan orang awam menjadi antara sebab Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, tidak melepaskan tembakan ketika diserang lelaki bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, Kepong, pada 11 November lalu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin, berkata anggota polis itu sebenarnya mempunyai hak mempertahankan diri kerana berdepan ancaman yang boleh mengakibatkan kematian.
Bagaimanapun, Thierry dipercayai mengambil kira risiko keselamatan orang awam di lokasi kejadian kerana tembakan berkemungkinan melantun atau serpihannya mencederakan individu lain.
Menurut Noor Hisam, anggota berkenaan pada awalnya menjangkakan tindakan mengacukan senjata api mampu menakutkan suspek, namun lelaki itu tetap bertindak ganas.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, mengadakan lawatan kebajikan terhadap Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Tambahnya, walaupun mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya terputus, Thierry masih mampu mengawal keadaan dan mengarahkan orang awam berlindung.
Katanya, tindakan itu menunjukkan anggota berkenaan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan situasi berbahaya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Thierry diserang lelaki warga asing yang meluru keluar dari sebuah unit pangsapuri sambil membawa dua bilah parang.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan berhampiran taman permainan dan ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan parang.
Lelaki itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Selayang, manakala Thierry menjalani pembedahan di HKL bagi menyambung semula tangan kanannya.
