KPT PERLUAS PROGRAM IJAZAH DI POLITEKNIK, PERKASA LALUAN PENDIDIKAN TVET

M Update, 18/11/2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merancang memperluas penawaran program pengajian peringkat ijazah di politeknik bagi memperkukuh landskap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu bertujuan mengubah persepsi terhadap politeknik yang selama ini lebih dikenali sebagai institusi pendidikan yang menawarkan program sijil dan diploma.
Menurutnya, politeknik juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam melahirkan graduan berkelulusan ijazah selaras dengan perkembangan keperluan pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, setakat ini lima politeknik sudah menawarkan program pengajian peringkat ijazah dan jumlah berkenaan akan diperluaskan menerusi proses penstrukturan semula ekosistem pendidikan teknikal.
Empat institusi yang sudah menawarkan program ijazah ialah Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah.
Katanya, usaha memperkasa institusi politeknik dan kolej komuniti penting bagi menyediakan lebih banyak pilihan laluan pendidikan kepada golongan muda, khususnya dalam bidang berasaskan teknologi dan kemahiran.
“Pendekatan ini juga penting untuk membangunkan ekosistem pendidikan yang mampu merangsang kreativiti, inovasi serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya.
Zambry berkata, pembangunan pendidikan teknikal yang lebih menyeluruh perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi, mempunyai daya pemikiran kritis serta berupaya menghasilkan inovasi.
Jelasnya, usaha itu juga penting untuk memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja serta cabaran masa hadapan.
