Pegawai Wanita Bongkar Salah Laku, Pegawai Atasan AKPS Ditahan

Foto: Bernama

M Update, 23/11/2026 – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan penahanan seorang pegawainya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen perjalanan sah.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu terbongkar selepas seorang pegawai wanita agensi berkenaan mengesan perbuatan pegawai atasannya yang dipercayai tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Menurutnya, AKPS bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti kemungkinan wujudnya rangkaian penyeludupan migran yang lebih besar.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, kes itu perlu diberi perhatian serius kerana berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan counter setting. Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai modus operandi berikutan siasatan masih dijalankan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily memuji tindakan berani pegawai wanita terbabit yang tampil melaporkan perkara itu, sekali gus menyifatkannya sebagai langkah penting dalam usaha membawa perubahan terhadap budaya kerja di AKPS.

Beliau turut memaklumkan akan bertemu pegawai berkenaan dalam masa terdekat bagi menyampaikan penghargaan atas keberanian serta integriti yang ditunjukkan.

Menurutnya, tindakan individu yang berani mendedahkan salah laku walaupun berdepan pelbagai cabaran wajar dihargai dan pihaknya akan memberikan sokongan kepada pegawai berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, Isnin.

Pada 17 November lalu, seorang penjawat awam berusia lingkungan 40-an ditahan selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah di KLIA Terminal 2.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).