61 Peratus Rakyat Malaysia Tiada Simpanan Kecemasan RM1,000

M Update, 23/11/2026 – Sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia didapati tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi menghadapi kecemasan, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, angka itu menunjukkan sebahagian besar masyarakat masih belum mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk berdepan situasi di luar jangka.

Menurut beliau, 37 peratus rakyat juga tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kos sara hidup selama tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan.

Katanya, statistik berkenaan membuktikan kepentingan meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat supaya mereka lebih bersedia mengurus kewangan dan menghadapi ketidaktentuan hidup.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, pendedahan mengenai pengurusan kewangan wajar dimulakan sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang lebih berpengetahuan dalam mengurus wang.

Beliau berkata, kefahaman mengenai nilai wang, amalan menabung serta asas pelaburan sejak awal dapat membantu golongan muda membuat keputusan kewangan yang lebih bijak apabila dewasa.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai sambutan positif masyarakat Sarawak terhadap pelbagai program pendidikan kewangan yang dianjurkan sebelum ini.

Menurutnya, sambutan berkenaan mencerminkan minat masyarakat di negeri itu untuk menimba ilmu berkaitan pengurusan kewangan, amalan menyimpan dan pelaburan.