ANWAR TERIMA ANUGERAH IJAZAH SANAD HADIS KHAS DARIPADA ULAMA ANTARABANGSA

M Update, 24/11/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Ijazah Sanad Hadis Khas sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan sokongan beliau dalam memperkasa pengajian hadis bersanad di Malaysia.
Penghormatan berkenaan disampaikan oleh sekumpulan ulama dan masyayikh musnidin antarabangsa yang diketuai Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.
Penyampaian anugerah itu berlangsung pada Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ Al-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, di sini, malam ini.
Pengiktirafan itu turut membawa makna lebih luas apabila mencerminkan komitmen bersama ulama, ilmuwan, institusi agama, tenaga pengajar hadis serta penuntut ilmu dalam mengangkat martabat pengajian hadis di negara ini.
Anwar turut menerima dokumen ijazah khas bertajuk Tuhfat al-Jalīs bi Ijāzat Fakhāmat al-Ra’īs yang disusun oleh Sheikh Dr Naji Rashid al-Arabi dari Bahrain.
Dokumen berkenaan menghimpunkan sanad bagi Kutub al-Sittah yang merangkumi Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Jami’ al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
Selain itu, ia turut meliputi al-Muwatta’ karya Imam Malik serta Musnad Imam Abu Hanifah, Imam al-Shafi’i dan Imam Ahmad, termasuk hadis musalsal serta ijazah umum berdasarkan syarat yang diterima dalam tradisi keilmuan hadis.
Inisiatif berkenaan turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai medan pertemuan ulama, musnidin dan penuntut ilmu dari dalam serta luar negara.
Majlis itu menghimpunkan kira-kira 10,000 peserta bersama 40 ulama antarabangsa dan tempatan, sekali gus menandakan berakhirnya siri pengajian yang berlangsung selama 11 hari.
Penganjuran tahun ini meneruskan kesinambungan majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari pada 2024 dan Sahih Muslim pada 2025.
Bagaimanapun, edisi kali ini tampil dengan pengisian tambahan menerusi pengajian Syama’il al-Muhammadiyyah, sebuah karya yang menghimpunkan riwayat berkaitan sifat, peribadi, kehidupan serta akhlak Rasulullah SAW.
Pengajian karya berkenaan bertujuan memperkenalkan keperibadian Rasulullah SAW sebagai contoh teladan kepada umat Islam, selain menyemarakkan kecintaan terhadap Baginda.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis itu bukan sahaja meneruskan tradisi pengajian hadis berasaskan sanad dan disiplin ilmu, malah menggalakkan penghayatan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
