PPS Pertama MTL Dibuka Di Terengganu, 123 Mangsa Dipindahkan

Foto: APM

Seramai 123 penduduk daripada 36 keluarga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal, di sini, susulan banjir akibat hujan berterusan sejak semalam.

PPS berkenaan mula dibuka pada jam 9 malam tadi dan merupakan pusat pemindahan pertama di Terengganu yang diaktifkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Nerus, seramai 28 lelaki dewasa, 31 wanita dewasa, 14 warga emas dan 45 kanak-kanak berada di PPS itu setakat jam 5 pagi.

Jumlah berkenaan turut merangkumi empat bayi lelaki serta seorang wanita orang kurang upaya (OKU).

DEWAN Serbaguna Tok Jembal dibuka bagi menempatkan 123 mangsa Foto: Info Bencana Terengganu

Pegawai Pusat Kawalan Negeri Terengganu merangkap Timbalan Pengarah APM Terengganu, Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin berkata, pemantauan dari semasa ke semasa terus dilaksanakan bagi memastikan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, keadaan cuaca di Kuala Nerus ketika ini menunjukkan hujan renyai, manakala paras air pula didapati meningkat secara beransur-ansur.

Sehubungan itu, penduduk terutama yang menetap di kawasan rendah dan berisiko dinaiki air diminta supaya meningkatkan kewaspadaan serta mengikuti arahan pihak berkuasa, termasuk berpindah sekiranya diarahkan.