Bap RM200 Tahun Depan Diserah Di Sekolah, Ibu Bapa Wajib Hadir

Foto: Datuk Seri Anwar Ibrahim

M Update, 25/11/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 bagi tahun depan diserahkan kepada semua murid di sekolah dengan kehadiran ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak, selain memberi peluang kepada mereka mengenali persekitaran sekolah serta berinteraksi secara langsung dengan guru.

Menurutnya, bantuan berkenaan tidak sepatutnya dihantar ke rumah kerana ibu bapa perlu hadir sendiri ke sekolah untuk bertemu tenaga pengajar yang bertanggungjawab mendidik anak mereka.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalannya, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Anwar turut mencadangkan pihak sekolah menganjurkan program khas sempena penyerahan bantuan itu bagi membolehkan guru, murid dan ibu bapa berkumpul dalam satu sesi.

Katanya, pertemuan berkenaan penting bagi membolehkan guru menyampaikan maklumat kepada ibu bapa mengenai perkembangan pembelajaran serta tingkah laku anak-anak di sekolah.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik anak bukan terletak sepenuhnya pada pihak sekolah, sebaliknya ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam membentuk disiplin dan sahsiah mereka.

Menurutnya, matlamat pendidikan bukan hanya untuk melahirkan individu yang cemerlang dalam penguasaan ilmu, malah turut membentuk insan berakhlak mulia, berdisiplin dan mempunyai keperibadian yang baik.